بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam PSSCM
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, Portal Rasmi Kejohanan Wajadiri Tunas dan Remaja Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (KWDTR) ini telah berjaya dibangunkan sebagai platform rasmi penyampaian maklumat, komunikasi dan rujukan kepada seluruh warga Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia serta masyarakat umum.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Induk KWDTR, urus setia, pasukan teknikal serta semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan pembangunan portal ini. Semoga usaha murni ini menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan pendigitalan pengurusan program PSSCM demi manfaat semua pihak.
Portal ini dibangunkan khusus sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan Kejohanan Wajadiri Tunas dan Remaja, termasuk syarat penyertaan, peraturan pertandingan, jadual program, hebahan rasmi, keputusan pertandingan, bahan promosi, galeri serta pelbagai maklumat penting yang sentiasa dikemas kini.
Lebih penting lagi, portal ini menjadi medium yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dalam menjayakan pembangunan generasi pelapis PSSCM, antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah, Cawangan-Cawangan PSSCM Negeri, Penyelia dan Tenaga Pengajar, ibu bapa, para peserta serta seluruh warga PSSCM.
Melalui platform ini, diharapkan segala urusan penyelarasan, penyampaian maklumat dan perkongsian ilmu dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, cekap dan berkesan.
Informasi di dalam Portal ini juga menerangkan tujuan Kejohanan Wajadiri Tunas dan Remaja ini diadakan iaitu bukan sekadar medan pertandingan, malah merupakan satu wadah pendidikan yang membentuk sahsiah, disiplin, kepimpinan, keyakinan diri, semangat berpasukan serta penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Program ini menjadi kesinambungan kepada Kejohanan Wajadiri PSSCM yang telah menjadi acara utama persatuan sejak tahun 2007, dengan pengenalan kategori Tunas dan Remaja sebagai usaha memperkukuhkan pembangunan pelapis sejak usia muda.
Selaras dengan aspirasi PSSCM, kejohanan ini mendukung hasrat melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam Seni Silat Cekak Malaysia, malah memiliki akhlak yang terpuji, berintegriti, berdisiplin, berilmu serta mampu menjadi pewaris perjuangan persatuan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Saya juga berharap portal ini akan menjadi sumber rujukan yang diyakini oleh semua pihak, khususnya ibu bapa, pihak sekolah, institusi pendidikan serta agensi kerajaan dalam memahami objektif, pelaksanaan dan pencapaian program pembangunan Tunas dan Remaja PSSCM.
Semoga pembangunan Portal ini memperkukuhkan kerjasama strategik antara PSSCM, Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru Malaysia, institusi pendidikan, Cawangan-Cawangan PSSCM Negeri, para Penyelia dan Tenaga Pengajar serta ibu bapa demi memastikan usaha melahirkan generasi pelapis yang cemerlang terus diperkasakan secara berterusan.
Akhir kata, saya mendoakan semoga Portal Rasmi KWDTR ini menjadi medium yang membawa manfaat besar kepada semua pengguna dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Kejohanan Wajadiri Tunas dan Remaja pada masa hadapan. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan, rahmat dan keredaan Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
YBhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah (P.M.W., B.C.M.)
Presiden & Guru Utama
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
8 Ogos 2026