"Pentas Keberanian, Warisan Peradaban"
Khas Buat Generasi Muda Silat Cekak!
Kejohanan Waja Diri PSSCM (KWD) merupakan pertandingan persembahan Seni Silat Cekak Malaysia berprestij yang dilaksanakan secara dwitahunan. Kejohanan ini disertai oleh ahli-ahli PSSCM yang berumur 18 tahun ke atas dari seluruh negara. Bermula sejak tahun 2007 di UIAM Gombak hingga penganjuran di UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu, KWD kini melangkah ke era baharu!
Melihat sambutan yang luar biasa pada KWD Ke-10, PSSCM kini membawakan Kejohanan Waja Diri Tunas & Remaja (KWDTR) PSSCM Kali Pertama (2025) di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor dan pada tahun 2026 ini Kejohanan Waja Diri Tunas & Remaja (KWDTR) PSSCM Kali Kedua (2026) di IPG Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan — khusus buat ahli Silat Cekak cilik dan remaja dari seluruh negara.
Pertumbuhan pesat kelas latihan PSSCM di peringkat sekolah dan awam melahirkan ramai bakat muda. KWDTR diwujudkan khas untuk:
🎯 Memberi Pendedahan Pertandingan: Menjadi platform rasmi ujian keberanian dan kemahiran bertanding.
🛡️ Pembangunan Bakat Muda: Memupuk disiplin dan jati diri persilatan seawal usia kanak-kanak dan remaja.
🏆 Pentas Kebangsaan: Mempertemukan ahli-ahli PSSCM dari kelas sekolah dan awam di seluruh Malaysia.
Tunas (6 – 12 tahun)
Fokus utama: Pembentukan asas, disiplin, dan minat persilatan.
Remaja (13 – 17 tahun)
Fokus utama: Kemahiran, persembahan seni, dan ketahanan diri.
Kejohanan Wajadiri Tunas & Remaja (KWDTR) PSSCM - IPGM Peringkat Kebangsaan merupakan platform pertandingan persembahan Seni Silat Cekak Malaysia yang menghimpunkan penyertaan ahli-ahli Tunas dan Remaja dari seluruh negara. Kejohanan ini diwujudkan sebagai medium untuk mencungkil bakat, memupuk semangat kesukanan, memperkukuh disiplin serta membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda melalui penghayatan ilmu dan amalan Seni Silat Cekak Malaysia. KWDTR diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan Kejohanan Wajadiri (KWD) yang telah menjadi acara utama PSSCM sejak tahun 2007, dengan memberi fokus khusus kepada pembangunan golongan kanak-kanak dan remaja sebagai pelapis masa depan persatuan dan negara.
Penganjuran KWDTR 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan, malah berfungsi sebagai wadah pendidikan yang menekankan pembentukan karakter, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan kecemerlangan diri. Melalui pelbagai kategori pertandingan yang berasaskan sukatan pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia, peserta berpeluang mempamerkan kemahiran, kreativiti dan penguasaan ilmu persilatan dalam suasana yang sihat dan kompetitif. Pada masa yang sama, kejohanan ini menggalakkan interaksi antara peserta daripada pelbagai negeri, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan ukhwah dalam kalangan ahli PSSCM.
Selaras dengan aspirasi Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi, pembentukan adab, komunikasi, tanggungjawab, kemahiran berfikir dan perkembangan diri, KWDTR 2026 berperanan sebagai platform pembelajaran autentik yang menyokong pembangunan murid secara holistik. Program ini membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek fizikal dan kemahiran, malah memiliki sahsiah unggul, daya tahan, semangat patriotisme dan identiti bangsa yang kukuh.